Wednesday 24 July 2013

LAPORAN LAWATAN KE ANJUNG NURANI KELAB RAKAN MELAKA, LUBOK CHINA


PENGENALAN
Kelab Rakan Melaka telah ditubuhkan pada hujung tahun 201, ianya merupakan sebuah persatuan NGO yang berfungsi memberi sokongan kepada bekas-bekas penagih dadah. Kelab ini juga berperanan dalam menanam dan menyemai nilai-nilai murni serta membina sahsiah dan ketahanan diri bekas pengguna dadah untuk berhadapan dengan cabaran kehidupan. Selain itu, Kelab Rakan juga berfungsi untuk menjadi pemangkin kepada usaha membawa komuniti yang bermasalah menjadi penyumbang kepada kehidupan yang sejahtera pada diri, keluarga, masyarakat dan Negara.

OBJEKTIF
Membantu bekas-bekas penagih dadah agar mereka dapat menjalani proses kepulihan serta mengekalkan kepulihan mereka.

KHIDMAT YANG DIJALANKAN
Rakan Seru (Outreach)
Khidmat ini merupakan satu aktiviti strategic bertemu dengan kumpulan sasar samada di Pusat-pusat pemulihan kerajaan, swasta, ditempat awam, mahupun di sekolah-sekolah bagi tujuan membendung masalah penyalahgunaan dadah.

Rakan Sokong Bantu (Support Session)
Khidmat ini merupakan perkumpulan dari kalangan kelompok komuniti yang bermasalah serta ahli keluarga mereka atau sesiapa jua yang mempunyai kaitan dengan masalah penggunaan dadah.

Rakan Bakti (Gotong Royong)
Mengadakan aktiviti gotong –royong bersama ahli-ahli samada disekitar kawasan premis, dirumah-rumah ahli mahupun dijalankan bersama-sama dengan masyarakat dimana jua.

Anjung Nurani (Rumah Penempatan Sementara)
Perkhidmatan ini merupakan sebuah penempatan sementara (Halfway Home) yang menyediakan tempat tinggal, makan-minum serta kemudahan asas bagi mereka yang memerlukan.
Penghuni akan diberi perhatian dari segi kebajikan, makanan, keperluan perubatan, rujukan, pembentukan disiplin diri serta keperluan emosi dan kerohanian.

PENCAPAIAN
Semua aktiviti di atas Berjaya dilaksanankan dengan lancar serta mendapat sambutan yang baik dari semua pihak.

MASALAH DAN CADANGAN
Masalah : Antara masalah utama yang dilihat adalah dari segi kewangan. Masalah kewangan atau dana yang terhad menyebabkan pihak pengurusan terpaksa menyediakan ruang penempatan yang hanya mampu memuatkan 5-7 orang bekas penagih sahaja.
Cadangan : Pihak yang berkenaan perlulah sama-sama menghulurkan bantuan dan dana kepada Kelab Rakan Melaka supaya mereka dapat menambah baikkan lagi pengurusan di Anjung Nurani tersebut.  Selain itu, sumbangan seperti kenderaan juga boleh diberikan agar pihak pengurusan dapat menggunakannya untuk membawa penghuni-penghuni di Anjung Nurani tersebut ke klinik kesihatan yang berhampiran sekiranya berlaku sebarang kecemasan seterusnya dapat membantu menjayakan proses kepulihan penagih-penagih tersebut.

Masalah : Kelab Rakan Melaka juga dilihat kurang mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat di kasawan tersebut. Hal ini mungkin kerana masyarakat takut untuk bergaul dengan bekas-bekas penagih tersebut kerana mereka tidak mampu mengikis stigma yang telah lama sebati dalam diri mereka bahawa bekas-bekas penagih ini tidak akan berubah sampai bila-bila malahan hanya akan mendatangkan pelbagai masalah dalam komuniti masyarakat tersebut.
Cadangan : Antara langkah yang boleh dijalankan untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai dadah, penyakit HIV dan cara bagaimana HIV berjangkit dan sebagainya. Pendedahan seperti ini adalah sangat perlu diberikan agar masyarakat mempunyai kefahaman yang lebih jelas mengenai dadah dan juga penyakit HIV. Selain itu, pihak pengurusan juga mungkin boleh mengadakan lebih banyak aktiviti yang melibatkan sumbangan bekas-bekas penagih ini kepada masyarakat agar masyarakat dapat membuka mata seterusnya faham bahawa setiap manusia itu mampu serta sentiasa mempunyai peluang untuk berubah kearah yang lebih baik.

Masalah : Antara masalah lain yang dihadapi adalah kurangnya penglibatan tenaga profesional dalam proses kepulihan bekas-bekas penagih ini. 
Cadangan : Pihak pengurusan mungkin boleh meminta bantuan atau khidmat sukarela daripada kaunselor-kaunselor yang terlatih agar dapat menjalankan sesi kaunseling dan juga bimbingan ke atas bekas-bekas penagih di Anjung Nurani tersebut. Selain itu, program-program yang berbentuk pengisian rohani juga mungkin boleh diperbanyakkan agar ianya dapat meningkatkan lagi keyakinan dan keteguhan hati-hati bekas penagih tersebut untuk terus istiqamah pada jalan kebenaran yang mereka pilih sekarang.

PENUTUP
Diharapkan segala cadangan yang telah diberikan ini akan dapat membantu menambah baikkan  pengurusan Kelab Rakan Melaka seterusnya mampu melahirkan generasi masa hadapan yang lebih baik dan mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan Negara.

~ Tiada Manusia Yang Tidak Mempunyai Masa Lampau Dan Tiada Manusia Yang Tidak Mempunyai Masa Hadapan, Carilah Ketenangan Hakiki Hanya Pada Ilahi. Kembali Pada Allah, Perbaiki Iman Kepada Allah Kerana Itu Adalah Sumber Kepada Ketenangan Yang Hakiki ~

No comments:

Post a Comment