Wednesday 24 July 2013

SIAPAKAH BELIA BERISIKO?

                                        
Istilah "belia berisiko" merujuk kepada sebab dan akibat yang boleh meletakkan seseorang belia itu berada dalam keadaan bahaya daripada peristiwa negatif yang akan berlaku. Masalah sikap, tingkah laku terlalu agresif atau terlalu pasif, dan tahap pencapaian akademik yang terlalu rendah merupakan antara indikator atau penanda yang boleh digunakan untuk menjangka kemungkinan individu itu terjebak dalam tingkah laku delinkuen dan tingkah laku berisiko di masa akan datang. Contohnya, jika seorang belia ketika zaman kanak-kanaknya membesar dalam suatau persekitaran yang tidak sihat, keadaan keluarga yang porak peranda, mempunyai rakan-rakan yang selalu ponteng sekolah dan melakukan aktiviti vandalisme. Maka pengalaman daripada suasana persekitaran ini boleh mempengaruhi perkembangan diri belia yang mana kemungkinan belia untuk terlibat dalam tingkah laku yang tidak sihat juga adalah tinggi.


Menurut Smith (2007), masyarakat merujuk "belia berisiko"sebagai belia yang mempunyai kumpulan atau gengs, tinggal di kawasan setinggan atau flat, mempunyai ibu bapa tunggal, mengalami masalah ekonomi dan ketinggalan dalam pelajaran. Keadaan ini akhirnya menyebabkan belia menjurus terlibat dalam gejala sosial seperti gengsterisme, vandalisme, penyalahgunaan dadah, hubungan seks luar nikah, masalah jenayah dan pelbagai lagi isu-isu lain. Faktor lain yang mendorong belia terlibat dalam tingkah laku berisiko juga disebabkan pengalaman pahit yang pernah dialami belia seperti pernah mengalami kegagalan dalam kehidupan, pernah didera, diabaikan oleh ibu bapa mereka, kemiskinan, gangguan daripada jiran dan rakan, masalah kesihatan fizizkal dan mental serta masalah hubungan dengan pihak lain.
Berdasarkan beberapa kajian lepas di peringkat antarabangsa dan tempatan mendapati bahawa faktor utama belia terlibat dalam tingkah laku berisiko adalah seperti berikut :

Faktor luaran :
pengabaian dan tinggal dalam kawasan kejiranan yang tidak selamat.

Faktor dalaman :
kecenderungan membuat keputusan dalam kehidupan seperti memilih untuk merokok, terlibat dalam aktiviti seks pada umur yang muda serta terlibat dalam aktiviti jenayah atau keganasan (Michigan Nonprofit Association 2002).

Tahap sosio-ekonomi keluarga rendah (Samsudin, 1995).

Tahap pendidikan ibu bapa rendah (Samsudin, 1995).

Bagi golongan muda yang masih bersekolah, didapati faktor risiko di sekolah adalah peramal yang amat kuat ke atas penglibatan dalam masalah sosial (Ezhar Tamam et. al, 2007).

Keterlibatan remaja dalam aktiviti lumba haram adalah disebabkan oleh faktor kepuasan, ganjaran yang mereka perolehi dan juga mereka sememangnya suka menunjuk-nunjuk dan lebih suka bersosial (Rozmi &Norhayati, 2007).

Faktor hubungan sosialisasi antara ibu bapa dan anak mendorong remaja 18-25 tahun terlibat dengan kegiatan lumba haram. Tahap penglibatan dan komunikasi yang kurang berkesan memberi impak kepada individu ini (Haslinda et.al ,2009).


DEFINISI TINGKAH LAKU BERISIKO

Salah laku seksual
Merupakan perlakuan salah laku berkaitan seksual sama ada perbuatan membawa bahan lucah ke sekolah atau melibatkan perlakuan fizikal secara sengaja atau tidak.

Penyalahgunaan dadah
Merupakan perbuatan yang menjurus kepada penyalahgunaan bahan termasuk juga menghisap rokok, meminum minuman beralkohol dan pengambilan dadah seperti syabu, ganja, pil khayal dan menghidu gam.

Keperaturan
Perlakuan melanggar disiplin di sekolah seperti membuli, melawan guru, datang lewat ke sekolah, dan ponteng sekolah /kelas /aktiviti sekolah yang wajib.

Integriti
Merupakan perlakuan yang tidak menghormati diri dan orang lain merangkumi perbuatan melepak, mencaci orang dengan kata-kata kesat dan bercakap bohong.

Jenayah
Merupakan perlakuan salah laku seperti berjudi, mencuri, menyertai kumpulan haram /kongsi gelap, melakukan vandalisme dan menyertai lumba haram ( Khaidzir & Hanina, 2007).

No comments:

Post a Comment